Selamat Datang ke JDM PKR Saujana Utama

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pihak kami mengalu-alukan kehadiran anda ke laman blog JDM Parti KeADILan Rakyat Saujana Utama.Sebuah blog yang memaparkan aktiviti semasa parti di peringkat JDM,bahagian,negeri dan nasional.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Tukar segera kepada meter individu jika mahu air percuma mulai 1 Jun




OLEH BEN ROSA


SHAH ALAM, Rabu 13 Mei : Pemberian air percuma bagi 20 meter padu pertama mulai 1 Jun ini hanya kepada kediaman yang mempunyai meter individu sahaja.

Sehubungan itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap pemilik atau penghuni pangsapuri segera menukar sistem meter air pukal kepada meter individu bagi menikmati kemudahan itu.

“Kita tetap melaksanakan janji pada 1 Jun ini. Ianya tiada masalah kecuali kepada penghuni pangsapuri yang belum ada meter berasingan. Mereka mestilah meminta pengurusan bangunan masing-masing menukar meter tersebut,” katanya.



Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak pengurusan bangunan boleh berbincang dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi tujuan penukaran meter tersebut.

Beliau berkata, ada kira-kira 300,000 unit pangsapuri dan kondominium menggunakan meter pukal di seluruh negeri ini.

Menjawab soalan, beliau berkata, kos penukaran meter perlu ditanggung oleh pemilik rumah.

Katanya, terpulang kepada pihak pengurusan bangunan pangsapuri atau kondominium untuk menukar meter dan penghuni hanya memperolehi air percuma selepas penukaran tersebut.

“Kita mula bulan depan (Jun) dan bil keluar hujung bulan. Jika cepat mereka menukar meter, lebih cepat mereka menikmati kemudahan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknoligi dan Inovasi, Dr Rodziah Ismail dalam sidang media sama berkata, pasukan peninjau pertama Yayasan Amal Malaysia yang menjadi penyelaras menghulurkan sumbangan kepada mangsa Taufan Nargis akan Yangon, Myanmar, esok.

Menurutnya, misi pertama seramai lima orang itu termasuk doktor dan jurutera akan melakukan tinjauan awal bagi mengenalpasti jenis bantuan yang akan disalurkan termasuk daripada sumbangan RM1 juta oleh kerajaan negeri Selangor.

Menurut beliau lagi, bilik operasi misi berkenaan telah dibuka di Dataran Usahawan Bangunan Darul Ehsan.

“Kita menerima apa saja bantuan tetapi elok kalau kita dapat bantuan berupa selimut, pakaian wanita dan kanak-kanak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Selangor akan merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat China ekoran kejadian gempa bumi yang sudah meragut lebih 22,000 nyawa, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, ucapan berkenaan akan disampaikan kepada Pejabat Kedutaan China di negara ini.

“Kerajaan negeri juga bersedia menawarkan bantuan kepada negara tersebut bergantung kepada permintaan negara tersebut,” katanya.