Selamat Datang ke JDM PKR Saujana Utama

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pihak kami mengalu-alukan kehadiran anda ke laman blog JDM Parti KeADILan Rakyat Saujana Utama.Sebuah blog yang memaparkan aktiviti semasa parti di peringkat JDM,bahagian,negeri dan nasional.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Jangan beri derma kepada pihak dakwa wakil LZS

SHAH ALAM, Khamis 15 Mei.-- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memberitahu pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai wakil bagi mengutip derma untuk membantu warga miskin di negeri itu.

Ketua Jabatan Pembangunan Korporat Akhtar Sahari berkata beberapa laporan diterima oleh LZS mendakwa terdapat individu yang melakukan kutipan derma di beberapa restoran dan gerai makan di sekitar negeri itu terutama di Shah Alam.

Beliau berkata individu terbabit akan memperkenalkan diri sebagai wakil yang dilantik oleh LZS dan menunjukkan surat kebenaran dari lembaga berkenaan bagi tujuan mengutip derma membantu golongan miskin di negeri berkenaan.

"LZS memandang serius hal ini dan sedang mengumpulkan bukti untuk mengambil tindakan selanjutnya. LZS tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk mengutip derma," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Akhtar berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan taktik mengutip derma berkenaan yang mungkin didalangi oleh sindiket tertentu.

"Jangan beri sebab bila kita bagi mereka akan terus menjalankannya. LZS tidak pernah keluarkan apa-apa surat bagi tujuan berkenaan," katanya.