Selamat Datang ke JDM PKR Saujana Utama

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pihak kami mengalu-alukan kehadiran anda ke laman blog JDM Parti KeADILan Rakyat Saujana Utama.Sebuah blog yang memaparkan aktiviti semasa parti di peringkat JDM,bahagian,negeri dan nasional.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Gugurkan Pertuduhan Ke Atas Raja Petra

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras tindakan kerajaan Barisan Nasional yang berselindung di sebalik Akta Hasutan 1948 dengan mendakwa pengendali Laman Web Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin di bawah Seksyen 4(1). AMK percaya bahawa pendakwaan ini bermotifkan politik semata-mata, dalam keadaan artikel "Let's Send Altantuya Murderer To Hell' tidak langsung dibidas dan dijawab secara berfakta oleh Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Apa yang berlaku hanyalah penafian kosong melalui Setiausaha Akhbar beliau, yang mana penafian seumpama ini tidak berupaya untuk menidakkan sebarang bentuk tuduhan ke atas beliau.

AMK menegaskan bahawa pendakwaan ini menggambarkan bahawa BN terus gagal untuk menyemai kebebasan berfikir di kalangan rakyat Malaysia apabila blogger yang bertanggungjawab seperti Raja Petra dikenakan tuduhan seperti ini.

Serangan Raja Petra ke atas Najib dan Rosmah tidak boleh sama sekali ditakrifkan sebagai hasutan kepada kerajaan, dalam keadaan ia tidak langsung merujuk kepada kerajaan, sebaliknya hanya peribadi dan moral Najib serta isterinya.

Adalah menjadi tanggungjawab moral Najib dan Rosmah untuk menjawab secara berfakta dan berhadapan dengan sebarang bentuk tuduhan ke atas mereka, dengan membuktikan sebaliknya bukan menunjukkan ketakutan mereka dengan berselindung di sebalik akta drakonian dan usang ini.

AMK dengan ini menggesa agar pertuduhan ke atas Raja Petra digugurkan atas alasan pendakwaan yang tidak sempurna dan tempang memandangkan kehendak-kehendak kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) tidak dipenuhi dengan ketat. AMK juga menggesa Najib agar bersikap 'jantan' dan terbuka untuk menerima kecaman dan kritikan.

AMK mendesak agar Parlimen memansuhkan segera Akta Hasutan 1948 bagi mengelakkan sebarang bentuk salahguna kuasa dan penyelewengan oleh kerajaan BN, khususnya di kalangan mereka yang bersikap jahil dan takut untuk dikecam dan dikritik.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat