SHAH ALAM, Isnin 26 Mei: Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengharamkan sebarang bentuk program yang berkaitan dengan Islam Hadhari mulai hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.
Beliau berkata, konsep Islam Hadhari tidak perlu kerana ajaran Islam yang diamalkan umat Islam di negara ini sudah lengkap dan menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan manusia sejagat.
"Kita tidak mahu konsep Islam Hadhari dikembangkan di negeri ini. Ini kerana, ajaran Islam yang kita amalkan sudah lengkap dan ajaran inilah yang kita mahu sandarkan untuk memerintah Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke 12, di sini.
Sehubungan itu katanya, semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari.
Belia yang juga Pesuruhjaya PAs Selangor, menafikan pemimpin Pas di negeri itu pernah berjanji menutup semua pusat hiburan, premis judi dan kilang arak sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.
Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin Pas, termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya.
"Jika ada yang mendakwa saya atau pemimpin PAS yang membuat dasar janji ini, sila tunjukkan bukti, " katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, Pas yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentadbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.
"Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni.
"Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa," katanya.