Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius tindakan kerajaan yang memperbaharui lantikan 16 anggota Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) pada 29 April lepas.
Pengumuman tersebut menggambarkan betapa kerajaan langsung tidak serius dan menghormati isyarat rakyat hasil daripada keputusan Pilihanraya Umum ke-12 8 Mac lepas yang mahu melihat reformasi menyeluruh dilaksanakan oleh kerajaan, khususnya dalam konteks perlindungan hak asasi manusia. Rekod perkhidmatan anggota Suhakam yang sedia ada terbukti sangat lesu dan mengecewakan, khususnya di dalam mendepani isu-isu pencabulan hak asasi yang sangat ketara berlaku di Malaysia sepanjang tempoh mereka berkhidmat.
Seolah-olah menjadi boneka kerajaan, isu-isu perobohan tempat ibadat, isu penahanan tanpa bicara di bawah akta zalim ISA, isu Hindraf, isu kebebasan media, isu pilihanraya yang tidak telus dan tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), semuanya tidak didepani dengan baik oleh anggota Suhakam yang dikekalkan sekarang.
AMK juga melihat, Menteri yang bertanggungjawab menyelia Suhakam iaitu Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mencalarkan wibawa awalnya apabila bertindak mengekalkan anggota Suhakam yang terdahulu. Sewajarnya beliau mempunyai sedikit keberanian sebagaimana yang ditunjukkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mahu mengambil inisiatif awal melaksanakan reformasi kehakiman walaupun ianya belum terbukti sepenuhnya.
Tuntasnya, AMK berpendapat bahawa kerajaan wajar menyemak semula perlantikan semula ini dan memasukkan agenda membebaskan Suhakam sepenuhnya agar bertanggungjawab terus kepada Institusi Parlimen di dalam reformasi yang mereka rangka kini.
AMK juga menggesa agar Suhakam melaksanakan kajian mendalam terhadap pencabulan hak individu dalam proses demokrasi di bawah prinsip one person one vote apabila kerajaan membatalkan penggunaan dakwat tempohari.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat