Selamat Datang ke JDM PKR Saujana Utama

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pihak kami mengalu-alukan kehadiran anda ke laman blog JDM Parti KeADILan Rakyat Saujana Utama.Sebuah blog yang memaparkan aktiviti semasa parti di peringkat JDM,bahagian,negeri dan nasional.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Kerusi Parlimen Kuala Terengganu milik PAS-Azmin

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bagi menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terenggganu.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pimpinan tertinggi PKR dalam mesyuaratnya semalam menetapkan sedia memberi peluang kepada rakannya dalam pakatan pembangkang itu.

“Malam kelmarin, PKR adakan mesyuarat khas. Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mengambil ketetapan kerusi (Parlimen ) ini (Kuala Terengganu) secara tradisinya milik teman kita, PAS, ” katanya di Kongres Nasional Tahunan PKR di sini.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong kerana penyandangnya sebelum ini iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismailmeninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland kira-kira pukul 6.30 petang, Jumaat lalu.

Azmin juga berkata, walau apa jua keputusan yang diputuskan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP, mereka akan sentiasa berpegang teguh kepada pendirian itu dan akan turun padang memberikan sokongan pada pilihan raya kecil brekenaan nanti.

Dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, Allahyarham Razali yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu (31,562 undi) dan calon Bebas,Maimon Yusof, 89, (685 undi).

Ahli Parlimen Gombak itu juga berkata, Pakatan Rakyat akan memberikan tentangan hebat bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu menjadi milik mereka.

“Dulu, Mat Sabu pun kalah dengan majoriti kecil, itu pun sebab ada seorang makcik (Maimon) yang kacau.

“Tapi tak apa, makcik itu pada malam ini sudah setuju akan sokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil itu nanti…tapi makcik mana saya tak tahu,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin juga berkata, Pakatan Rakyat bersedia menghadapi BN jika pilihan raya kecil juga berlaku di Pensiangan, sabah.

“Insya Allah, kalau BN kalah, sekali lagi kita akan turun berkampung di Pensiangan untuk rampas satu lagi kerusi bagi Pakatan Rakyat,” katanya.-mstar

PKR sedia kembalikan kedaulatan Raja Beperlembagaan


SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia untuk perjuangkan dan mengembalikan kedaulatan institusi diraja berpaksikan sistem Raja Berpelembagaan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata ‘kontrak bersama’ yang ditandatangani komponen Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu menjelaskan mengenai komitmen terhadap kedudukan Raja-raja Melayu.

“Malahan kita bersedia untuk mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan.

“Kita juga akan memberikan komitmen mengenai kedudukan istimewa bangsa Melayu, Bahasa Malaysia dan agama Islam sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.

Menurut beliau pucuk pimpinan Pakatan Rakyat juga telah beberapa kali mengulangi komitmen bersama untuk memperjuangkan hak asasi semua rakyat Malaysia.

Jelasnya perkembangan terbaru itu merupakan kejayaan besar yang menandakan Pakatan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah.

“Inilah erti sebenar ‘Harapan Baru’ yang kita bawa iaitu bersatu dalam kepelbagaian, berusaha gigih membentuk demokrasi plural dan merakyatkan kepesatan ekonomi negara berpandukan pentadbiran yang telus dan adil,” katanya.

Tambah beliau lagi pakatan pembangkang itu juga sentiasa bersedia mengamalkan prinsip pasaran terbuka serta pengagihan kekayaan secara adil.

Isu berkaitan dengan kekebalan Raja-raja Melayu ini mula timbul apabila media melaporkan pada Rabu lalu mengenai titah Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar yang mahu kekebalan raja sebagai pelindung dikembalikan.

Dalam ucapannya, Azizah juga menyatakan keyakinan untuk menggerakkan perubahan iklim politik di sabah dan Sarawak.

“Saya yakin ini adalah petanda bermulanya satu pergerakan perubahan di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga menjanjikan persembahan menarik dalam pilihanraya negeri Sarawak yang diadakan dalam tahun 2009,” katanya.

Tegas beliau juga rancangan peralihan kuasa pimpinan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razakn tidak akan membawa sebarang perubahan positif kepada kerosakan sistem pentadbiran utama seperti badan kehakiman, institusi polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan institusi Parlimen.-mstar

PKR SEDIA 'TEMPUR' SARAWAK, ANWAR TERUS BERI HARAPAN TUBUH KERAJAAN


in: DSAI

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan langkah drastik ‘menggempur’ Sarawak bagi memastikan pengaruhnya dapat menembusi negeri berkenaan bemula bulan hadapan.

Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rintihan dan kemahuan rakyat di Sarawak yang sangat inginkan perubahan sentiasa didengari dan akan diberi perhatian yang serius.

“Mudah-mudahan kita dapat menjana kekuatan yang lebih dan seruan rakan di Sarawak juga kita dengar dan kita sudah putuskan mulai bulan hadapan ahli-ahli Parlimen dan pimpinan PKR untuk ‘bertempur’ di Sarawak,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Khas Penasihat PKR di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.

Anwar juga melahirkan keyakinan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP akan terus bekerjasama bagi memastikan perubahan besar akan berlaku di Sarawak malah terus memberi harapan untuk membentuk kerajaan.

“Kita percaya pimpinan PAS dan DAP akan sama-sama membantu kita supaya kita saksikan perubahan besar di Sarawak dan mudah-mudahan ada juga perubahan besar lainnya yang akan berlaku di negara kita,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh penyokongnya.

Kongres berkenaan dihadiri oleh kira-kira tujuh ribu penyokong parti itu yang terdiri datipada 1927 perwakilan, 1200 pemerhati dan hampir empat ribu pemerhati terbuka yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata harapan seluruh rakyat masih tinggi untuk melihat perubahan dalam kepimpinan politik negara.

“Saya percaya harapan kita masih tinggi kerani kita janjikan perubahan walaupun perubahan ini masih belum capai sepenuhnya.

“Harus ingat, perubahan ini bukan untuk politik peribadi tetapi untuk tegakkan satu sistem yang bebas,” katanya.

Tegas beliau walaupun perubahan kuasa masih belum berlaku pada 16 September namun semangat perjuangan yang diperjuangkan rakyat tidak akan tergugat walaupun menghadapi cabaran dari pelbagai pihak.

“Saya percaya walaupun dengan sepak terajang mereka tak mungkin akan gugat semangat kejituan dan kepahlawanan rakyat jelata,” katanya.

Tambah beliau lagi, sentimen perkauman yang dimainkan Umno dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah ‘jaguh Melayu tulen’ yang mempertahankan hak kaum Melayu.

“Padahal mereka sendiri yang melakukan pembohongan…merekalah pemimpin Melayu yang pecah amanah,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata pakatan itu tidak akan sekali-kali mempertikaikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita janjikan suara rakyat…suara keramat. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan mengenai soal kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, kuasa Raja-raja serta hak keistimewaan orang Melayu tidak akan kita pertikaikan,” katanya.-mstar