Selamat Datang ke JDM PKR Saujana Utama

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pihak kami mengalu-alukan kehadiran anda ke laman blog JDM Parti KeADILan Rakyat Saujana Utama.Sebuah blog yang memaparkan aktiviti semasa parti di peringkat JDM,bahagian,negeri dan nasional.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


PKR sedia kembalikan kedaulatan Raja Beperlembagaan


SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia untuk perjuangkan dan mengembalikan kedaulatan institusi diraja berpaksikan sistem Raja Berpelembagaan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata ‘kontrak bersama’ yang ditandatangani komponen Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu menjelaskan mengenai komitmen terhadap kedudukan Raja-raja Melayu.

“Malahan kita bersedia untuk mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan.

“Kita juga akan memberikan komitmen mengenai kedudukan istimewa bangsa Melayu, Bahasa Malaysia dan agama Islam sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.

Menurut beliau pucuk pimpinan Pakatan Rakyat juga telah beberapa kali mengulangi komitmen bersama untuk memperjuangkan hak asasi semua rakyat Malaysia.

Jelasnya perkembangan terbaru itu merupakan kejayaan besar yang menandakan Pakatan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah.

“Inilah erti sebenar ‘Harapan Baru’ yang kita bawa iaitu bersatu dalam kepelbagaian, berusaha gigih membentuk demokrasi plural dan merakyatkan kepesatan ekonomi negara berpandukan pentadbiran yang telus dan adil,” katanya.

Tambah beliau lagi pakatan pembangkang itu juga sentiasa bersedia mengamalkan prinsip pasaran terbuka serta pengagihan kekayaan secara adil.

Isu berkaitan dengan kekebalan Raja-raja Melayu ini mula timbul apabila media melaporkan pada Rabu lalu mengenai titah Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar yang mahu kekebalan raja sebagai pelindung dikembalikan.

Dalam ucapannya, Azizah juga menyatakan keyakinan untuk menggerakkan perubahan iklim politik di sabah dan Sarawak.

“Saya yakin ini adalah petanda bermulanya satu pergerakan perubahan di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga menjanjikan persembahan menarik dalam pilihanraya negeri Sarawak yang diadakan dalam tahun 2009,” katanya.

Tegas beliau juga rancangan peralihan kuasa pimpinan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razakn tidak akan membawa sebarang perubahan positif kepada kerosakan sistem pentadbiran utama seperti badan kehakiman, institusi polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan institusi Parlimen.-mstar

PKR SEDIA 'TEMPUR' SARAWAK, ANWAR TERUS BERI HARAPAN TUBUH KERAJAAN


in: DSAI

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan langkah drastik ‘menggempur’ Sarawak bagi memastikan pengaruhnya dapat menembusi negeri berkenaan bemula bulan hadapan.

Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rintihan dan kemahuan rakyat di Sarawak yang sangat inginkan perubahan sentiasa didengari dan akan diberi perhatian yang serius.

“Mudah-mudahan kita dapat menjana kekuatan yang lebih dan seruan rakan di Sarawak juga kita dengar dan kita sudah putuskan mulai bulan hadapan ahli-ahli Parlimen dan pimpinan PKR untuk ‘bertempur’ di Sarawak,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Khas Penasihat PKR di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.

Anwar juga melahirkan keyakinan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP akan terus bekerjasama bagi memastikan perubahan besar akan berlaku di Sarawak malah terus memberi harapan untuk membentuk kerajaan.

“Kita percaya pimpinan PAS dan DAP akan sama-sama membantu kita supaya kita saksikan perubahan besar di Sarawak dan mudah-mudahan ada juga perubahan besar lainnya yang akan berlaku di negara kita,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh penyokongnya.

Kongres berkenaan dihadiri oleh kira-kira tujuh ribu penyokong parti itu yang terdiri datipada 1927 perwakilan, 1200 pemerhati dan hampir empat ribu pemerhati terbuka yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata harapan seluruh rakyat masih tinggi untuk melihat perubahan dalam kepimpinan politik negara.

“Saya percaya harapan kita masih tinggi kerani kita janjikan perubahan walaupun perubahan ini masih belum capai sepenuhnya.

“Harus ingat, perubahan ini bukan untuk politik peribadi tetapi untuk tegakkan satu sistem yang bebas,” katanya.

Tegas beliau walaupun perubahan kuasa masih belum berlaku pada 16 September namun semangat perjuangan yang diperjuangkan rakyat tidak akan tergugat walaupun menghadapi cabaran dari pelbagai pihak.

“Saya percaya walaupun dengan sepak terajang mereka tak mungkin akan gugat semangat kejituan dan kepahlawanan rakyat jelata,” katanya.

Tambah beliau lagi, sentimen perkauman yang dimainkan Umno dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah ‘jaguh Melayu tulen’ yang mempertahankan hak kaum Melayu.

“Padahal mereka sendiri yang melakukan pembohongan…merekalah pemimpin Melayu yang pecah amanah,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata pakatan itu tidak akan sekali-kali mempertikaikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita janjikan suara rakyat…suara keramat. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan mengenai soal kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, kuasa Raja-raja serta hak keistimewaan orang Melayu tidak akan kita pertikaikan,” katanya.-mstar

KONGRES PARTI KEADILAN RAKYAT.

Perspektif diri
Kongres PKR: Persiapan ke arah memerintah Malaysia
Petikan daripada Blog Merah Tinta MSO - Laman M@RHAEN



MINGGU depan giliran Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan mengadakan kongres nasional tahunannya. Kongres ini merupakan kali ke-5 selepas Keadilan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia. Sudah tentu kongres kali ini akan menjadi tumpuan ramai. Ada beberapa sebab kenapa kongres ini diramal bakal hangat dan menjadi fokus umum baik dari ahli, penyokong dan pemerhati.

Pertama, inilah kongres pertama selepas pilihan raya umum ke-12 yang membawa kejayaan besar kepada PKR. Tidak boleh dinafikan kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya lalu jika diukur kepada pencapaian itu meletakkan PKR menjadi parti kedua terbesar selepas Umno.

Di Parlimen Umno mempunai 83 kerusi manakala PKR 31 di mana hampir separuh daripada kerusi Umno. Berbanding dengan Pas yang mempunyai 23 kerusi manakala DAP 28 kerusi.

Sekiranya kejayaan dalam pilihan raya umum ke-12 itu kekalkan tidak mustahil PKR akan menjadi parti masa depan dan pilihan rakyat negara ini yang seterusnya menjadi parti peneraju kerajaan?

Situasi dan realiti itu menyebabkan kongres pada 28 dan 29 November bertempat di stadium tertutup, stadium Melawati Shah Alam, dijangka menarik perhatian umum. Kehadiran pemerhati dan sambutan kongres berkenaan juga mungkin akan meningkat berbanding dengan kongres-kongres sebelum ini. Apa lagi tempat berlangsungnya kongres itu selesa jika dibandingkan dengan tempat berlangsungnya kongres sebelum ini.

Sebelum ini PKR menghadapi masalah mendapatkan premis untuk mengadakan kongres mereka. Bukan semua hotel mewah atau dewan umum bersedia memberi ruang kepada PKR. Lantaran itu PKR terpaksa mengadakan kongres mereka di merata tempat termasuk di tempat yang tidak berapa sesuai disebabkan kesulitan itu. Kerana tidak ada pilihan maka kongres terpaksa juga diadakan. Satu ketika PKR pernah mengadakan kongres di Dewan Tokong Cina di Ipoh.

Alhamdulilah walaupun tempat kongres tidak selesa dan dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti hawa dingin dan sebagainya sambutan tetap hangat dan membanggakan. Semangat untuk melakukan perubahan dan pembaharuan menjadikan segala kepayahan dan kesusahan itu dialpakan.

Kalau di Dewan Tokong Cina sambutan hangat dengan kehadiran ribuan orang, apa lagi di tempat yang selesa seperti stadium Melawati di Shah Alam itu tentu ia akan bertambah hebat dan meriah. Lagipun tempat itu bolehlah dianggap sebagai peremis PKR sendiri. Selangor kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat di mana PKR sebagai tulang belakangnya. Pengerusi PKR Selangor, Abdul Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar. Kedudukan itu tentu akan diambil kesempatan sebaik mungkin untuk berkongres dalam keadaan selesa dan penuh bermakna.

Seperti dikatakan tadi, inilah kongres atau perhimpunan rasmi pertama PKR selepas selesai pilihan raya umum Mac lepas. Sudah tentu kongres kali ini berbeza dari segi penampilan, semangat serta komitmen kalangan ahli. Keinginan ahli untuk menghadiri kongres itu akan jadi bertambah ghairah. Lantaran itu ia diharap akan menghasilkan natijah yang bermakna dan bukan sebagai gelangang untuk beretorika dan melepas hawa saja.

Kongres kali ini tidak melibatkan pemilihan. Peluang ini memberi ruang banyak kepada ahli atau perawakilan untuk membahas, membincangkan dan merangka pelan tindakan parti setidak-tidaknya menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang. Peluang baik ini juga hendaknya dimanfaatkan untuk mengemukakan idea lebih inklusif demi masa depan parti berkenaan yang diharap menjadi alternatif kepada rakyat seluruhnya.

Seperti mana dirancangkan kongres itu akan bermula dengan kongres Angakatan Muda dan Wanita pada 28 November. Kedua persidangan ini akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Syed Hussein Ali. Ia kemudian akan diikuti dengan kongres nasional tahunan. Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail akan merasmikan kongres manakala Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptamanya.

Menjadi amalan dan kebiasaan ucapatama dan ucapan asar penasihat akan menjadi landasan pemikiran dalam merangka strategi parti untuk beberapa tahun akan datang. Para perwakilan akan mengupas dan mendalami kedua ucapan berkenaan. Adalah dijangka baik presiden atau penasihat akan menumpukan kepada ageda untuk memapatkan parti, me ningkatkan kualiti kepimpinan dalam rencana persediaan menjadikan PKR sebagai sebuah parti bakal memerintah Malaysia.

Beberapa isu berbangkit dari kalangan Pakatan Rakyat, khasnya mengenai tanggapan Pas terhadap pendekatan politik atau dalam menguruskan pentadbiran kerajaan milik Pakatan Rakyat seperti di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan turut sama diperjelaskan bagi mengelakkan tidak timbul salah anggap yang boleh melemahkan Pakatan Rakyat.

Apakah mengenai nasib penasihat PKR itu yang kini sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah akan turut sama dibincangkan? Seperti mana umum ketahui Anwar kini sedang berhadapan dengan tuduhan liwat kali kedua dan perbicaraan masih dijalankan. Memandangkan akan berlaku perubahan kepimpinan dalam kerajaan BN ada kemungkinan Anwar juga akan turut memberi huraian mengenai masa depan politik serta persiapan menghadapi serangan dan propaganda baru BN di bawah kepimpinan baru itu.

Dalam pada itu ada beberapa isu atau perkara yang harus diberikan penekanan oleh para perwakilan sekelian ini termasuklah;

1. Permatapan PKR sebagai sebuah oragnaisasi bakal menulangi kerajaan.

Kongres perlu membincang bagaimana atau kaedah untuk memantapkan kedudukan PKR sebagai sebuah parti bakal menjadi tulang belakang kepada kerajaan di masa akan datang. Untuk ini PKR perlu menambah nilai ahli dan juga wilayah rangkaian PKR di seluruh negara. Justeru adalah sesuai kalau PKR merangka menambahkan bahagian parti itu di seluruh negara mengikut kawasan Parlimen sebanyak 222. Ataupun sekurang-kurang PKR perlu mempunyai 200 bahagian di seluruh negara.

Untuk mewujudkan ini PKR tidak ada masalah kerana ia tidak ada apa-apa halangan. PKR yang sifatnya sebagai parti pelbagai bangsa dengan Melayu menjadi tunggaknya boleh mengembangkan sayapnya ke mana juga wilayah kerana ia tidak terhalang seperti mana parti-parti lain yang bersifat konservatif.

2. Semangat setia perjuangan dan rela berkorban.

PKR perlu menanam dan menguatkan semangat setia kawan, persaudaraan sesama ahli dan rela berkorban untuk kemenangan perjuangan. Dalam konteks ini mana-mana ahli yang meresakan mereka tidak mampu untuk menjanakan (memimpin bajahagian) perjuangan hendaklah rela dan ikhlas menyerahkan jawatan kepada rakan yang boleh dirasakan mampu menggerakan parti. Jangan kerana semata-mata ingin menjadi ketua atau dengan harapan dengan kedudukan itu akan mendapat habuah, seseorang penjawat jawatan itu terus kekal dengan kelemahannya tanpa menghiraukan nasib parti.

3. Tambah keahlian.

Sesuai dengan kedudukannya bakal menerajui kerajaan di masa akan datang, PKR perlu menambahkan keahlian. Mesti ada kempen atau program khas untuk mengajak anak-anak muda khasnya menjadi ahli parti. Sasaran keahlian PKR harus melebihi tiga juta. Dengan memiliki ahli yang ramai, PKR boleh meneliti dan memilih mereka untuk dilatik sebagai kader ataupun jentera pilihan raya. Kelemahan yang ketara kepada PKR ialah jentera pilihan raya, di mana di sesetengah tempat PKR hanya menumpang jentera rakan mereka, terutamanya Pas. Kelemahan ini perlu diperbaiki dan diperkemaskan.

4. Penjelasan mengenai beberapa isu berbangkit.

Kongres ini hendaklah digunakan untuk menjelaskan beberapa isu berbangkit yang tidak difahami oleh ahli. Antara isu ini ialah hubungan dengan rakan Pakatan Rakyat. Perselisihan faham dalam Pas berhubung sifat dan peranan PKR dalam Pakatan perlu dijelaskan. PKR harus menyatakan sikap yang menyakinkan Pas. Penjelasan ini penting kerana kekeliruan mengenainya menyebabkan pandangan umum tidak yakin kemantapan Pakatan Rakyat.

5. Buang budaya Umno.

Ahli PKR perlu membawa dan mengamalkan buadaya baru. Budaya lapuk dan merosakkan akhlak dan pertubuhan yang diwarisi daripada Umno hendaklah dibuang dan diharamkan dalam PKR. Menyertai parti untuk mendapat projek haruslah dikikis dan jangan sesekali bawa budaya dan pemikiran itu dalam PKR. Ini penting kerana PKR kini sudah mempunyai kerajaan negeri dan ada kuasa. Jangan pula berlaku perebutan jawatan, kontrak, jawatan-jawatan dalam PBT, agensi dan sebagainya.

Itulah antara perkara yang perlu dibincangkan dan diberi perhatian oleh para perwakilan kongres. Mudah-mudahan kongres ke-5 merangkap ke-9 itu nanti akan memberi impak besar kepada parti PKR amnya dan kepada penasihat umumnya Anwar Ibrahim.